Thursday 21 March 2013

Sumber Inspirasiku

Teks: Sulatin Hananu binti Mohd Aris


"Ayah dan Ibu, Ayah dan Ibu itulah permulaan kami"... inilah bait-bait lagu ALLAHyarham Dato' Sudirman Hj Arshad yang begitu menyentuh jiwa raga dan qalbu apabila mendengarnya. Saya sendiri setiap kali lagu ini berkumandang akan menitislah air mata. Tidak tahu pula air mata kesedihan atau kesayuan atau pilu. Yang pasti air mata tetap akan mengalir tanpa dipinta. Saya sendiri sehingga kini tidak dapat nak membayar segala pengorbanan ayah dan emak. Harganya begitu tinggi, tidak ternilai. 

ALHAMDULILLAH umur saya bakal mencecah 40 tahun pada bulan Oktober akan datang, saya masih lagi mempunyai kedua ayah dan emak yang sihat dan ceria selalu. Saya sendiri selepas solat fardhu, sentiasa berdoa, memohon padaNYA agar dapat saya membahagiakan mereka dunia dan akhirat. 

"Ya ALLAH KAU peliharalah kedua ibubapaku sebagaimana mereka pelihara aku dari kecil hingga dewasa, ampunkan dosa-dosa mereka, panjangkanlah umur dan sihatkan tubuh badan mereka supaya dapat beribadat kepadaMU, bahagiakanlah jiwa dan raga mereka dengan KasihSayangMU, cukupkanlah keperluan mereka dengan keREDHOanMU"

Pada sesiapa yang masih lagi mempunyai kedua ibubapa nasihat saya berbakti, bahagiakanlah mereka semampu kalian sebelum mereka pergi menghadap PenciptaNYA. Saya sendiri tidak dapat menggambarkan bagaimanakah situasi ini jika berlaku kepada saya. Mohon ALLAH beri kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi cubaan dan dugaanNYA.

Ayah, Emak dan Puteriku
Saya juga sentiasa berdoa agar anak saya juga akan berbuat kebaikan kepada saya dan suami juga pada orang-orang disekelilingnya apabila dia besar nanti. Selain suami dan anak, ayah dan emak adalah sumber inspirasi saya untuk meneruskan kehidupan seharian saya. Ayah dan emak banyak memberikan semangat, dorongan, tunjuk ajar dari era persekolahan, era pekerjaan dan sehingga berkahwin pun masih lagi memberi perhatian yang tidak ternilai kepada saya dan adik-adik.

Wang ringgit, masa, doa, bantuan tenaga, fikiran mereka banyak diberikankan kepada saya dan adik-adik tanpa diminta untuk dibayar balik. Dan kita sebagai anak wajiblah menjalankan tanggungjawab terhadap mereka sehingga akhir hayat, dunia dan akhirat.

"Along sayang sangat-sangat pada ayah dan emak sampai bila-bila"...

Juga buat Suami dan puteriku... LOVE both of you always :)

InsyaALLAH...

No comments:

Post a Comment