Saturday 6 April 2013

Masakan lama - Acar Tradisional

Teks: Sulatin Hananu binti Mohd Aris
Foto: Carian Google


Bahan-bahannya:-

1 kg bawang besar - dipotong 2/3
1 kg timun
2 peket rempah serbuk (ikan/ayam)
15 tangkai cili kering (dalam 50 sen)
Bawang putih, bawang merah, halia kunyit (dalam nilaian RM1.00)
1 biji kelapa goreng
Cili merah / hijau (dalam nilaian RM2.00 - dipotong dua)
Udang kering (dalam nilaian RM2.00)
Sekeping belacan
1 botol kecil cuka
Gula dan Garam secukup rasa

Penumis - kulit kayu manis, bunga lawang, buah pelaga, sedikit biji sawi (boleh didapati dalam bentuk peket di kedai)

Cara memasak:-

Panaskan minyak, tumiskan bahan penumis dan bawang sehingga garing

Masukkan rempah, cili, belacan, kelapa goreng, cuka, garam, gula yang telah digaul dan goreng sehingga wangi

Masukkan bawang besar, timun dan dikacau sehingga masak


Selamat mencuba :)

Masakan 'simple' lagi berkhasiat - Nasi Jagung

Teks: Sulatin Hananu binti Mohd Aris
Foto: Carian Google


Bahan-bahannya:-

Beras - 5 cawan
Susu - 3/4 cawan
Marjerin - 50 gram
Minyak masak (corn oil pun boleh digunakan) 1/2 cawan
Jagung - 1/2 cawan (jagung direbus seketika)
Garam secukup rasa
Air 6 1/2 cawan

Bahan yang perlu ditumbuk atau di 'blend'

Serai - 4 batang
Daun pandan - 4 helai
Bawang kecil - 10 ulas
Bawang putih - 5 ulas
Halia 1 inci

Cara-caranya:-

Tumiskan bahan-bahan yang telah ditumbuk atau di 'blend' sehingga wangi

Masukkan air kemudian masukkan beras yang telah dibersihkan tunggu sehingga beras separuh masak

Kemudian masukkan jagung yang telah direbus bersama beras tadi dan tunggu sehingga nasi jagung itu masak sepenuhnya 

Boleh dicuba untuk menjadi santapan di hujung minggu. 

Selamat Mencuba :)


Friday 5 April 2013

Bagaimana Mula Katering (Bahagian Akhir)

Teks: Sulatin Hananu binti Mohd Aris
Foto: Carian Google






Katerer perlu mengikut beberapa pendekatan proses dan prosedur yang telah ditetapkan kepada pelanggan korporat yang mahukan perkhidmatan katering dalam menyiapkan dan mengedarkan makanan kepada pelanggan. Hal ini dilaksanakan supaya segala proses permintaan, penghantaran dan penyempurnaan kerja berjalan lancar seperti yang diharapkan oleh pelanggan. Sebagai contoh katerer membuat rundingan dengan pelanggan, memilih jenis produk makanan atau masakan, mendapat persetujuan bersama dan akhirnya menunggu perlaksanaan dibuat.


Selain daripada memberikan perkhidmatan penyediaan makanan, katerer perlulah melibatkan diri dengan aktivti kemasyarakatan dan kebajikan. Ini juga  memberikan peluang dan idea kepada perniagaan katerer. Namun janganlah membantu kerana inginkan ganjaran tetapi bantulah dengan ikhlas, mudah-mudahan akan mendapat rezqi yang berpanjangan dan berkat.


Perniagaan makanan bermasak dikaitkan dengan kemahiran seseorang. Tidak semestinya seseorang yang tidak pandai masak tidak boleh menjalankan bisnes katering ni tetapi perlulah ada minat dan cita-cita serta konsisten dalam melakukan pekerjaan.



Penyediaan makanan dan cara-cara hiasan dalaman yang lebih baik boleh difikirkan oleh setiap pengusaha bisnes katering ini hanya untuk menarik minat pelanggan terhadap bisnes yang dibuat.

Selain memulakan bisnes katering secara kecil-kecilan, perniagaan ini lebih mudah diurus kerana tidak perlu menyediakan kertas kerja cukup dengan cara berbelanja yang bijak. Yang paling penting pelanggan tidak berhutang kerana jualan secara tunai ini dapat mengelakkan masalah kewangan. 



Wallahu 'alam


Bagaimana Mula Katering (Bahagian Ke 3)

Teks: Sulatin Hananu binti Mohd Aris
Foto: Carian Google

Objektif, matlamat dan hala tuju bagi seseorang katerer atau syarikat katering adalah menjalankan bisnes katering yang akan menghasilkan mutu dan kualiti makanan yang bersih, halal dan sihat serta mampu dinikmati oleh setiap pelanggan di Malaysia dengan harga yang berpatutan, tidak membebankan dan dapat menyediakan pelbagai jenis masakan dan makanan sebagai platform memperkenalkan dan mengekalkan makanan tempatan pada rakyat Malaysia khususnya dan pelancong luar amnya disamping memberikan kemudahan setempat untuk majlis-majlis rasmi samada yang besar atau yang kecil.


Katerer yang menjalankan perkhidmatan penyediaan makanan samada secara kecil-kecilan mahupun pada peringkat yang lebih besar seperti perkhidmatan katering untuk majlis-majlis tertentu. Terdapat pelbagai jenis masakan yang boleh dipilih mengikut cita rasa pelanggan. Mereka hanya perlu memaklumkan jenis majlis yang bakal berlangsung dan katerer akan mencadangkan jenis masakan yang bersesuaian berdasarkan sasaran tetamu. 


Katerer juga boleh menyediakan perkhidmatan membekalkan makanan kepada mana-mana organisasi untuk pekerja mereka contohnya dalam sektor perkilangan atau pembuatan yang rata-ratanya bekerja mengikut syif-syif tertentu. Perkhidmatan yang diberikan dapat membantu mengawal tahap produktiviti pekerja dan kilang dengan tidak perlu keluar untuk mendapatkan makanan. tetapi sebelum itu perlulah melalui perjanjian secara kontrak antara katerer dan organisasi terlibat.

Katerer perlulah mengkategorikan beberapa produk masakan untuk memudahkan pelanggan memilih sesuatu cita rasa mengikut keperluan mereka. Ada yang terdiri dari masakan tempatan, masakan Indonesia, masakan Thai, masakan Cina, masakan India, masakan Arab, masakan barat dan lain-lain.







Perkhidmatan katering ini mendapat sambutan ramai ketika menjelang musim perayaan dan cuti sekolah. Hal ini terjadi kerana pada masa tersebut orang ramai lebih gemai bersantai berbanding dengan memasak.





*nantikan sambungannya, bahagian akhir...

Bagaimana Mula Katering (Bahagian ke 2)

Teks: Sulatin Hananu binti Mohd Aris
Foto: Carian Google

Maaf atas kelewatan bersiaran di alam siber ini kerana menguruskan beberapa urusan persendirian. Disini saya akan menyambung mengenai bab yang lepas.



Perkhidmatan menyediakan sajian makanan atau lebih dikenali dengan nama katering merupakan sebuah perniagaan yang semakin mendapat tempat dalam kalangan usahawan dan syarikat pada masa ini. Dengan menggunakan perkhidmatan katering ini sesebuah majlis akan sentiasa berada dalam keadaan teratur dan mengikut jadual yang telah ditetapkan. Namun begitu masih ramai dalam kalangan masyarakat yang masih berasa ragu-ragu untuk menggunakan perkhidmatan ini berikutan mereka tidak mengetahui hasil atau mutu produk makanan yang disajikan itu. Dengan menggunakan kaedah pemasaran dan kajian yang betul, sesebuah syarikat katering mampu untuk mengatasi masalah tersebut.


Ada yang bermula dengan kecil-kecilan dan ada yang mula dengan skala yang besar dengan harapan dapat memberikan kemudahan kepada masyarakat umum amnya. Bisnes katering ini memerlukan kecekapan memasak dan mutu rasa makanan yang dihasilkan wajiblah konsisten supaya dapat mengembangakn ke pasaran yang meluas diluar sana. Selain daripada itu semangat kerja yang tinggi dan beretika akan menjadikan segala urusan katering dan masakan berjalan lancar dan teratur mengikut jadual yang diminta oleh pelanggan. 


Antara faktor lain yang membawa ke arah kejayaan katerer adalah masakan dimasak oleh tukang masak yang berpengalaman dan efisien, penghantaran perkhidmatan yang tepat pada masanya serta kecekapan inventori dan penghantaran yang berdisiplin.



Pada syarikat yang besar bolehlah membuat profil syarikat kerana ini diharapkan akan lebih memberikan kesan positif kepada strategi pemasaran. Ia haruslah selari dengan perkembangan pertumbuhan sesama dan saranan kerajaan yang menyarankan agar rakyat Malaysia mencintai hasil masakan negara Malaysia.




*bersambung...

'Protection'

Teks: Sulatin Hananu binti Mohd Aris
Foto: Carian Google

Assalamualaikum...

Kita semua memerlukan 'protection' baik untuk diri sendiri, keluarga tersayang dan harta benda. Ya...hakikinya kita memang kena meminta kepada ALLAH Tuhan Sekelian Alam. ALLAH Maha Pengasih, Maha Pelindung, Maha Berkuasa atas segala-galanya. Kita manusia hanya mampu merancang hanya DIA sahaja yang menentukan setiap kejadian. Kita hanya mampu berdoa, berusaha, berikhtiar dan bertakawakal dan selebihnya biar Yang Maha Esa yang menentukan buruk baiknya. Kita sentiasa memohon yang terbaik. Apa yang saya ingin kongsikan bersama ialah selain mencari akhirat, kita juga perlu mendapatkan 'protection' duniawi yang berlandaskan Al-Quran dan Sunnah.






Kita memerlukan 'protection' untuk pendapatan kita, harta benda kita dan untuk orang-orang yang kita sayangi. Memang betul nyawa tidak boleh dinilaikan dengan wang ringgit, tetapi bagaimanakah nasib isteri atau suami, anak-anak, waris-waris dan segala hutang piutang yang ditinggalkan setelah kita tiada nanti? 



Setelah kita tiada atau dalam erti kata yang lain meninggalkan dunia yang fana ini menuju ke alam barzakh, adakah cukup dengan duit simpanan atau nilai harta benda yang ditinggalkan untuk orang-orang tersayang? Kita perlu menyiapkan segala-galanya bukan hanya untuk diri sendiri tetapi kepada orang-orang yang kita sayangi supaya tidak terjejas kehidupan kelak setelah kita tiada. Adakah segala wang ringgit dan aset yang kita tinggalkan mencukupi untuk keperluan mereka untuk 7 tahun atau 14 tahun akan datang? Oleh itu kita perlu merancang sebaik-baiknya dan sebijak-bijaknya.



Dan 'protection' yang ditawarkan oleh memang berlandaskan syariah, undang-undang dan peraturan yang dirujuk daripada Al-Quran dan Hadis. Ia bersifat Islamik dan berlandaskan hukum syarak dan perlindungannya berkonsepkan sumbangan dan bantuan. 




Pemegang polisi hanya membayar bayaran yang minima tetapi akan mendapat perlindungan yang setimpal dan tiada tekanan dari segi mendapat rawatan, untuk membayar bil hospital dan sebagainya. Dan apabila cukup tempoh matang akan mendapat kembali sumbangannya selama ini. Tidak akan mendatangkan kerugian sekiranya kita mengambil langkah-langkah pro-aktif kerana sekiranya berlaku kehilangan nyawa, kemalangan, kehilangan anggota kekal, penyakit kronik akan diberikan pampasan mengikut polisi yang diambil.


Saya ucapkan TAHNIAH kepada mereka yang telah mengambil perlindungan yang diinginkan. Kita perlu sedar tentang hakikat kepentingan perlindungan masa kini. Yang sedihnya masih adal lagi yang buta tentang perlindungan ini, mungkin tidak tahu atau tidak kisah apa yang akan berlaku atau memang tidak mahu ambil tahu langsung. Kita perlulah menyediakan payung sebelum hujan tetapi jangan 'dah terhantuk baru nak terngadah'. Orang putih kata 'better late than never'.


Apabila sudah ada MINAT dilajakkan dengan TINDAKAN akan membuahkan HASIL yang diINGINI.



Jadi kepada yang belum BERTINDAK dan BERMINAT mengetahui lebih lanjut tentang perlindungan yang sepenuhnya berlandaskan ISLAM ini boleh PM (private message) melalui facebook saya. Bukan hanya akan dapat perlindungan, pemegang polisi juga akan mendapat tabungan untuk kehidupan masa akan datang. 

Wallahu 'alam.



Ikhlas:
Sulatin Hananu binti Mohd Aris
Agensi Imtiyaz
Senawang
Negeri Sembilan

NEGERI SEMBILAN DENGAN ADATNYA

Teks: Sulatin Hananu binti Mohd Aris



Foto: Carian Google
Sebut sahaja Negeri Sembilan (NS) semua orang Melayu di Semenanjung tahu bahawa negeri ini mempunyai satu amalan adat yang unik sejak sekian lama. Malah ia ditaati oleh warganya, orang melayu yang lahir dari nenek moyang yang berasal dari suku kaum Minangkabau dari Sumatera Barat di Indonesia.

Sebagai adat setempat, tidak banyak maklumat bersilang yang dapat dirujuk mengenai adat unik ini samada melalui buku atau rujukan lain. Tidak ramai cerdik pandai membuat kajian dan penyelidikan bersifat akademik dan ilmiah, kecuali beberapa orang anak Negeri Sembilan yang menggarapnya ke dalam buku seperti yang dikarang oleh Allahyarham Abu Chik, Allahyarham Tan Sri Samad Idris, Dr Nordin Selat  serta Dato’ Dr Mohd Rosli Saludin.

Besar kemungkinan selain orang Negeri Sembilan mereka kekok untuk mengkajinya disebabkan telo bahasa, adat resam yang asing kepada orang luar serta susur galur yang sukar difahami. Maka kuranglah  kajian atau penyelidikan yang boleh dimegahkan, agak nya...

Apa yang saya faham orang keturunan Minangkabau telah datang ke Negeri Sembilan  seawal tahun 1511. Ramai diantara perantau ini telah berkahwin dengan orang asli di sini dan mengembangkan adat perpatih yang telah lama diamalkan mereka di tanah Minangkabau. Mereka ini merupakan orang-orang yang suka merantau dan berniaga. Bukan sahaja dahulu malah hingga sekarang. Buktinya ialah yang membaiki kasut, membuat capal, membuat songkok, tukang jahit pakaian untuk lelaki dan wanita, berniaga makanan nasi Padang, nasi Kapau, menjual cicin batu akik dan berniaga di pasar-pasar malam, hampir semuanya dijalankan oleh orang-orang Minangkabau. Mereka ramai di Selangor, NS, Johor dan Perak. Orang Minangkabau tidak suka hidup berkuli. Mereka berkata dengan sebatang jarum dan sehelai benang mereka boleh mencari rezeki.

Foto: Carian Google
Itu tidak termasuk penghijrahan sementara mereka ketika hendak menyambut bulan Ramadhan dan hari raya Aidil Fitri setiap tahun. Beratus-ratus orang Minangkabau tua muda menaiki feri dari Pekan Baru atau Dumai turun di Melaka,  Port Dickson atau Port Klang untuk berniaga samada dengan bantuan orang tempatan atau  ‘dun sanak’ mereka yang telah ada di sini. Uniknya masyarakat ini mereka saling membantu sesama mereka dalam urusan berniaga. 

Mereka mula berniaga seawal hari puasa pertama hingga pada malam raya. Pada malam raya mereka akan mengadakan jualan murah hinggalah terbit fajar. Tujuannya untuk menghabiskan barang-barang jualan. Selepas itu mereka akan tidur dan berehat di rumah ‘dun sanak’ masing-masing dua tiga hari sebelum balik ke ‘nagari’ membawa wang hasil perniagaan. Yang datang berniaga berkala ini bukan PATI tetapi sebagai pelancong yang sah.

Berbalik kepada adat perpatih, ia dibawa dari tanah Minangkabau.
Asalnya adat ini diperkenalkan oleh seorang pemimpin Minangkabau bernama Sutan Balun yang bergelar  Dato’ Papatiah (sebutan minang) (Perpatih) Nan Sebatang. Mengikut ceritanya Dato Perpatih Nan Sebatang ada adiknya bernama Dato’ Tumangguang (sebutan minang) (Temenggong) yang mengembangkan adat Temenggung yang diamalkan di Johor dan beberapa tempat lain.

Adat Perpatih merangkumi aspek kehidupan masayarakat seperti perlantikan pemimpin, pengurusan adat dalam masyarakat, nikah kahwin, pemberian harta pusaka, pengadilan dan menghukum pelanggar adat.

Foto: Carian Google
Perlantikan pemimpin disini termasuk DYMM Yang Di Pertuan Besar. Berbeza dengan negeri-negeri beraja yang lain di Malaysia, raja memerintah untuk negeri ini tidak diwariskan dari bapa ke anak. Apabila berlaku kemangkatan raja yang memerintah, maka Dato’ Undang yang Empat iaitu YTM Undang Luak Sg Ujung akan mempegerusikan mesyuarat perlantikan raja yang baru bersama YTM Dato’-Dato’ Undang Luak Jelebu, Johol dan Rembau. 

Undang Luak Sg Ujung adalah merupakan Dato’ Undang yang paling kanan diikuti oleh Jelebu, Johol dan Rembau. Pemilihan yang dibuat oleh Dato’-Dato’ Undang Luak  untuk pengganti raja adalah ke atas seorang anak raja  dikalangan kerabat diraja.  Seketika jenazah Almarhum akan diusung untuk dikebumikan YTM Dato Undang Luak Sg Ujung akan membuat pengumuman rasmi pengganti raja yang mangkat.  Sebagai contoh, perlantikan DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah menggantikan bapa saudaranya Almarhum Tuanku Jaafar. Ayahanda Tuanku Muhriz adalah adik beradik dengan Almarhum Tuanku Jaafar.

Selain perlantikan raja memerintah, Dato’-Dato’ Undang luak juga tidak mewariskan jawatannya kepada anak masing-masing. Mereka dilantik dalam kerapatan adat yang dihadiri oleh Dato’Dato Limbago (Lembaga) dalam kalangan sukunya. Begitu juga Dato’ Limbago mereka juga dilantik dalam kerapatan adat yang dihadiri oleh Buapak-Buapaknya. Kerana itu bila wujud sistem demokrasi ala barat dinegara kita, adat Perpatih telah lama mendahuluinya.

Kesimpulannya berkumpul dan berbincang adalah amalan orang-orang Negeri Sembilan sejak dahulu. Lantaran itu keakraban adik beradik dan saudara rapat menjadi begitu sinonim. Nak kenduri kecil sekalipun biasanya adik beradik akan berkumpul untuk mengambil keputusan serta masing-masing menentukan sumbangan yang akan diberi kepada majlis yang hendak diadakan itu.

Foto: Carian Google
Dalam adat Perpatih di NS, harta pusaka ialah sebuah rumah yang didirikan atas tanah pusaka beserta sawah padi. Harta pusaka ini diberikan kepada anak perempuan yang tua dalam kalangan adik beradik seibu sebapa. Ini kerana kakak yang tua adalah sebagai pemegang amanah atas tanah pusaka itu. Sekiranya ada mana-mana adik beradik yang kurang kemampuan atau miskin disebabkan penyakit atau kurang upaya, maka diatas tanah dan rumah pusaka itu tempat membina kehidupan. Tanah pusaka ini juga dikenali sebagai ‘tanah adat’ yang tidak boleh dijual atau digadai. Harta berkenaan telah diakadkan oleh nenek moyang yang bersilih ganti sejak beratus tahun dahulu untuk keluarga itu supaya dipindah milik ke generasi seterusnya. Sekiranya dikatakan pembahagian itu tidak mengikut syarak, rasanya tidak tepat juga kerana wujudnya akad dari tuan punya sebelum itu. Anak-anak lelaki dan perempuan tetap menerima pusaka yang dikumpul oleh ibu bapa mereka. Harta ini akan dibahagikan mengikut hukum faraidh.

Ada cerita lama yang telah tersebar dari mulut ke mulut sejak dahulu hingga sekarang mengatakan orang luar yang berkahwin dengan perempuan Negeri Sembilan si suami akan keluar sehelai sepinggang dari rumahnya apabila berlaku perceraian hidup atau mati. Memang kasihan bila mendengar cerita itu. Kalau ada yang keluar rumah sehelai sepinggang, menunjukkan si suami itu tidak ada apa-apa harta sepencarian dengan isterinya sepanjang perkahwinan mereka. Si suami mendiami rumah pusaka isteri sejak dari berkahwin. Sekiranya ada harta sepencarian mereka, ia tetap akan dibahagikan secara faraidh. Adat Perpatih mengatakan:

Agama itu dijunjung, adat itu dikelek.
Adat bersendikan hukum, hukum bersendi syarak - Kitab Allah.

Biar mati anak jangan mati adat. Ramai orang luar mengangap orang yang mengamalkan adat perpatih sanggup mati anak dalam mempertahankan adat.  Kata-kata itu hanya merupakan prinsip yang dipegang. Pengikut adat perpatih akan mempertahankan adatnya dengan cara yang tegas. Mati anak sedih sekeluarga mati adat rosak senegeri – demikianlah nisbah pertimbangan dan falsafah dalam mengamalkan adat itu.

Seperkara lain yang dimomok-momokan ialah orang luar yang bernikah dengan perempuan NS kena ‘masuk suku’. Malah dua kata-kata ini menjadi gurauan bernada lucah.

Foto: Carian Google
Masuk suku membawa maksud masuk ke dalam salah satu suku yang terdapat di NS kerana dalam masyarakat NS terdapat banyak suku dalam sesebuah kampung itu. Suku tertentu tidak tinggal dalam kejiranan suku mereka sahaja. Untuk senang memahami katakan A ialah lelaki luar yang bukan dari masyarakat bersuku. A boleh mencari ‘saudara angkat’ dari kalangan orang bersuku dan masuk ke dalam suku saudara angkat itu.

Sekiranya A mempunyai saudara angkat yang bersuku Payakumbuh maka dia akan di ‘kodin’ (kedim) melalui upacara kerapatan suku itu. Ia merupakan satu majlis kenduri yang dihadiri masyarakat kampung dimana Buapak suku itu akan menjadi ketua majlis dan Dato’ Limbago suku Payakumbuh sebagai Penyaksi Kehormat. Bapa angkat tadi akan memberitahun secara rasmi kepada Buapak akan asal usul si A dan hasratnya untuk masuk suku Payakumbuh. Seterusnya Buapak akan menghadap serta menyampaikan sembah kepada Dato’ Limbago mengenai perkara yang sama. Ketika itu Dato’ Limbago dikhaskan tempat duduknya dengan litupan kain lelangit di atas kepala dan atas tilam pandaknya.

Setelah melalui beberapa  tanya dan jawab dalam hamburan kata-kata yang penuh beradat serta pepatah petitih, Dato’ Limbago akan memberikan keputusannya. Sekiranya diterima pengumuman akan dibuat menyatakan si A mulai saat itu adalah orang bersuku Payakumbuh dan taat kepada suku itu. Perkara itu akan tersebar menjadi pengetahuan umum di kampung itu.

Setelah masuk suku A akan bernikah dengan X mengikut adat istiadat suku masing-masing.  Yang perlu dielakan dalam perkahwinan masyarakat NS ialah perkahwinan sesuku. Sekiranya berlaku juga, ada tatacara keadilan adat akan dibuat.

Kenduri ber ‘kodin’ akan dibuat secara penuh adat istiadat dengan sembelihan seekor atau dua ekor kambing dimana satu dari kepala kambing berlilit perut panjang yang telah dimasak lauk akan dihidangkan kepada Dato’ Limbago dan Buapak diatas dulang tembaga yang ditutup tudung saji berbalut kain kelingkan (jenis manik berkilat). Tetamu yang hadir akan turut dijamu makan nasi dan kuih muih tradisional NS seperti buah ‘sopang’, kuih ‘koci’, penganan talam, kuih cucur dan lain-lain.  Pendek kata kenduri itu amat meriah sekali.

Adat ber ‘kodin’ jarang sangat berlaku sekarang. Pemodenan kehidupan telah mengetepikan adat istiadat. Puncanya generasi pelapis sudah tidak tahu mengurus adat suku masing-masing. 

                     Tau nang dulu-dulu pado nang lamo-lamo
Tau nang lamo-lamo pado nenek moyang
Tau dek nengok, pandai dek muek

Banyak lagi huraian boleh dibuat mengenai adat perpatih kerana ia merupakan cara hidup dalam masyaraskat orang Negeri Sembilan.

Rasanya cukup setakat ini ada masa lain kali boleh disambung J