Teks: Sulatin Hananu binti Mohd Aris
|
Foto: Carian Google |
Sebut sahaja Negeri Sembilan (NS) semua
orang Melayu di Semenanjung tahu bahawa negeri ini mempunyai satu amalan adat
yang unik sejak sekian lama. Malah ia ditaati oleh warganya, orang melayu yang lahir dari nenek moyang yang
berasal dari suku kaum Minangkabau dari Sumatera Barat di Indonesia.
Sebagai adat setempat, tidak banyak
maklumat bersilang yang dapat dirujuk mengenai adat unik ini samada melalui
buku atau rujukan lain. Tidak ramai cerdik pandai membuat kajian dan penyelidikan
bersifat akademik dan ilmiah, kecuali beberapa orang anak Negeri Sembilan yang
menggarapnya ke dalam buku seperti yang dikarang oleh Allahyarham Abu Chik,
Allahyarham Tan Sri Samad Idris, Dr Nordin Selat serta Dato’ Dr Mohd Rosli Saludin.
Besar kemungkinan selain orang Negeri
Sembilan mereka kekok untuk mengkajinya disebabkan telo bahasa, adat resam yang
asing kepada orang luar serta susur galur yang sukar difahami. Maka
kuranglah kajian atau penyelidikan yang
boleh dimegahkan, agak nya...
Apa yang saya faham orang keturunan Minangkabau
telah datang ke Negeri Sembilan seawal
tahun 1511. Ramai diantara perantau ini telah berkahwin dengan orang asli di
sini dan mengembangkan adat perpatih yang telah lama diamalkan mereka di tanah
Minangkabau. Mereka ini merupakan orang-orang yang suka merantau dan berniaga.
Bukan sahaja dahulu malah hingga sekarang. Buktinya ialah yang membaiki kasut, membuat
capal, membuat songkok, tukang jahit pakaian untuk lelaki dan wanita, berniaga
makanan nasi Padang, nasi Kapau, menjual cicin batu akik dan berniaga di
pasar-pasar malam, hampir semuanya dijalankan oleh orang-orang Minangkabau. Mereka
ramai di Selangor, NS, Johor dan Perak. Orang Minangkabau tidak suka hidup
berkuli. Mereka berkata dengan sebatang jarum dan sehelai benang mereka boleh
mencari rezeki.
|
Foto: Carian Google |
Itu tidak termasuk penghijrahan sementara
mereka ketika hendak menyambut bulan Ramadhan dan hari raya Aidil Fitri setiap
tahun. Beratus-ratus orang Minangkabau tua muda menaiki feri dari Pekan Baru
atau Dumai turun di Melaka, Port Dickson
atau Port Klang untuk berniaga samada dengan bantuan orang tempatan atau ‘dun sanak’ mereka yang telah ada di sini.
Uniknya masyarakat ini mereka saling membantu sesama mereka dalam urusan
berniaga.
Mereka mula berniaga seawal hari puasa
pertama hingga pada malam raya. Pada malam raya mereka akan mengadakan jualan
murah hinggalah terbit fajar. Tujuannya untuk menghabiskan barang-barang
jualan. Selepas itu mereka akan tidur dan berehat di rumah ‘dun sanak’
masing-masing dua tiga hari sebelum balik ke ‘nagari’ membawa wang hasil
perniagaan. Yang datang berniaga berkala ini bukan PATI tetapi sebagai pelancong
yang sah.
Berbalik kepada adat perpatih, ia dibawa
dari tanah Minangkabau.
Asalnya adat ini diperkenalkan oleh seorang
pemimpin Minangkabau bernama Sutan Balun yang bergelar Dato’ Papatiah (sebutan minang) (Perpatih)
Nan Sebatang. Mengikut ceritanya Dato Perpatih Nan Sebatang ada adiknya bernama
Dato’ Tumangguang (sebutan minang) (Temenggong) yang mengembangkan adat Temenggung
yang diamalkan di Johor dan beberapa tempat lain.
Adat Perpatih merangkumi aspek kehidupan
masayarakat seperti perlantikan pemimpin, pengurusan adat dalam masyarakat,
nikah kahwin, pemberian harta pusaka, pengadilan dan menghukum pelanggar adat.
|
Foto: Carian Google |
Perlantikan pemimpin disini termasuk DYMM
Yang Di Pertuan Besar. Berbeza dengan negeri-negeri beraja yang lain di
Malaysia, raja memerintah untuk negeri ini tidak diwariskan dari bapa ke anak.
Apabila berlaku kemangkatan raja yang memerintah, maka Dato’ Undang yang Empat
iaitu YTM Undang Luak Sg Ujung akan mempegerusikan mesyuarat perlantikan raja
yang baru bersama YTM Dato’-Dato’ Undang Luak Jelebu, Johol dan Rembau.
Undang Luak Sg Ujung adalah merupakan
Dato’ Undang yang paling kanan diikuti oleh Jelebu, Johol dan Rembau. Pemilihan
yang dibuat oleh Dato’-Dato’ Undang Luak
untuk pengganti raja adalah ke atas seorang anak raja dikalangan kerabat diraja. Seketika jenazah Almarhum akan diusung untuk
dikebumikan YTM Dato Undang Luak Sg Ujung akan membuat pengumuman rasmi
pengganti raja yang mangkat. Sebagai
contoh, perlantikan DYMM Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir adalah
menggantikan bapa saudaranya Almarhum Tuanku Jaafar. Ayahanda Tuanku Muhriz
adalah adik beradik dengan Almarhum Tuanku Jaafar.
Selain perlantikan raja memerintah,
Dato’-Dato’ Undang luak juga tidak mewariskan jawatannya kepada anak
masing-masing. Mereka dilantik dalam kerapatan adat yang dihadiri oleh
Dato’Dato Limbago (Lembaga) dalam kalangan sukunya. Begitu juga Dato’ Limbago
mereka juga dilantik dalam kerapatan adat yang dihadiri oleh Buapak-Buapaknya.
Kerana itu bila wujud sistem demokrasi ala barat dinegara kita, adat Perpatih
telah lama mendahuluinya.
Kesimpulannya berkumpul dan berbincang
adalah amalan orang-orang Negeri Sembilan sejak dahulu. Lantaran itu keakraban
adik beradik dan saudara rapat menjadi begitu sinonim. Nak kenduri kecil
sekalipun biasanya adik beradik akan berkumpul untuk mengambil keputusan serta
masing-masing menentukan sumbangan yang akan diberi kepada majlis yang hendak
diadakan itu.
|
Foto: Carian Google |
Dalam adat Perpatih di NS, harta pusaka
ialah sebuah rumah yang didirikan atas tanah pusaka beserta sawah padi. Harta
pusaka ini diberikan kepada anak perempuan yang tua dalam kalangan adik beradik
seibu sebapa. Ini kerana kakak yang tua adalah sebagai pemegang amanah atas
tanah pusaka itu. Sekiranya ada mana-mana adik beradik yang kurang kemampuan
atau miskin disebabkan penyakit atau kurang upaya, maka diatas tanah dan rumah
pusaka itu tempat membina kehidupan. Tanah pusaka ini juga dikenali sebagai
‘tanah adat’ yang tidak boleh dijual atau digadai. Harta berkenaan telah
diakadkan oleh nenek moyang yang bersilih ganti sejak beratus tahun dahulu
untuk keluarga itu supaya dipindah milik ke generasi seterusnya. Sekiranya dikatakan
pembahagian itu tidak mengikut syarak, rasanya tidak tepat juga kerana wujudnya
akad dari tuan punya sebelum itu. Anak-anak lelaki dan perempuan tetap menerima
pusaka yang dikumpul oleh ibu bapa mereka. Harta ini akan dibahagikan mengikut
hukum faraidh.
Ada cerita lama yang telah tersebar dari
mulut ke mulut sejak dahulu hingga sekarang mengatakan orang luar yang
berkahwin dengan perempuan Negeri Sembilan si suami akan keluar sehelai
sepinggang dari rumahnya apabila berlaku perceraian hidup atau mati. Memang
kasihan bila mendengar cerita itu. Kalau ada yang keluar rumah sehelai
sepinggang, menunjukkan si suami itu tidak ada apa-apa harta sepencarian dengan
isterinya sepanjang perkahwinan mereka. Si suami mendiami rumah pusaka isteri
sejak dari berkahwin. Sekiranya ada harta sepencarian mereka, ia tetap akan
dibahagikan secara faraidh. Adat Perpatih mengatakan:
Agama itu
dijunjung, adat itu dikelek.
Adat
bersendikan hukum, hukum bersendi syarak - Kitab Allah.
Biar mati anak jangan mati adat. Ramai orang
luar mengangap orang yang mengamalkan adat perpatih sanggup mati anak dalam
mempertahankan adat. Kata-kata itu hanya
merupakan prinsip yang dipegang. Pengikut adat perpatih akan mempertahankan
adatnya dengan cara yang tegas. Mati anak sedih sekeluarga mati adat rosak
senegeri – demikianlah nisbah pertimbangan dan falsafah dalam mengamalkan adat
itu.
Seperkara lain yang dimomok-momokan ialah
orang luar yang bernikah dengan perempuan NS kena ‘masuk suku’. Malah dua
kata-kata ini menjadi gurauan bernada lucah.
|
Foto: Carian Google |
Masuk suku membawa maksud masuk ke dalam
salah satu suku yang terdapat di NS kerana dalam masyarakat NS terdapat banyak
suku dalam sesebuah kampung itu. Suku tertentu tidak tinggal dalam kejiranan
suku mereka sahaja. Untuk senang memahami katakan A ialah lelaki luar yang
bukan dari masyarakat bersuku. A boleh mencari ‘saudara angkat’ dari kalangan
orang bersuku dan masuk ke dalam suku saudara angkat itu.
Sekiranya A mempunyai saudara angkat yang
bersuku Payakumbuh maka dia akan di ‘kodin’ (kedim) melalui upacara kerapatan
suku itu. Ia merupakan satu majlis kenduri yang dihadiri masyarakat kampung
dimana Buapak suku itu akan menjadi ketua majlis dan Dato’ Limbago suku
Payakumbuh sebagai Penyaksi Kehormat. Bapa angkat tadi akan memberitahun secara
rasmi kepada Buapak akan asal usul si A dan hasratnya untuk masuk suku
Payakumbuh. Seterusnya Buapak akan menghadap serta menyampaikan sembah kepada
Dato’ Limbago mengenai perkara yang sama. Ketika itu Dato’ Limbago dikhaskan
tempat duduknya dengan litupan kain lelangit di atas kepala dan atas tilam
pandaknya.
Setelah melalui beberapa tanya dan jawab dalam hamburan kata-kata yang
penuh beradat serta pepatah petitih, Dato’ Limbago akan memberikan
keputusannya. Sekiranya diterima pengumuman akan dibuat menyatakan si A mulai
saat itu adalah orang bersuku Payakumbuh dan taat kepada suku itu. Perkara itu
akan tersebar menjadi pengetahuan umum di kampung itu.
Setelah masuk suku A akan bernikah dengan
X mengikut adat istiadat suku masing-masing.
Yang perlu dielakan dalam perkahwinan masyarakat NS ialah perkahwinan
sesuku. Sekiranya berlaku juga, ada tatacara keadilan adat akan dibuat.
Kenduri ber ‘kodin’ akan dibuat secara
penuh adat istiadat dengan sembelihan seekor atau dua ekor kambing dimana satu
dari kepala kambing berlilit perut panjang yang telah dimasak lauk akan
dihidangkan kepada Dato’ Limbago dan Buapak diatas dulang tembaga yang ditutup
tudung saji berbalut kain kelingkan (jenis manik berkilat). Tetamu yang hadir
akan turut dijamu makan nasi dan kuih muih tradisional NS seperti buah ‘sopang’,
kuih ‘koci’, penganan talam, kuih cucur dan lain-lain. Pendek kata kenduri itu amat meriah sekali.
Adat ber ‘kodin’ jarang sangat berlaku
sekarang. Pemodenan kehidupan telah mengetepikan adat istiadat. Puncanya
generasi pelapis sudah tidak tahu mengurus adat suku masing-masing.
Tau nang dulu-dulu pado nang lamo-lamo
Tau nang lamo-lamo pado nenek moyang
Tau dek nengok, pandai dek muek
Banyak lagi huraian
boleh dibuat mengenai adat perpatih kerana ia merupakan cara hidup dalam masyaraskat
orang Negeri Sembilan.
Rasanya cukup setakat
ini ada masa lain kali boleh disambung J